BLACK WEDNESDAY 8 MEI 2013, STADIUM KELANA JAYA
BLOG INI DI"HITAM"KAN MULAI HARI INI

Berita

Showing posts with label Hassan Ali. Show all posts
Showing posts with label Hassan Ali. Show all posts

Friday, February 10, 2012

Ulasan terakhir YB Khalid Samad mengenai Hassan Ali

Hassan dan Alasan

InsyaAllah ini merupakan kali terakhir saya menulis berhubung dengan Hassan Ali dan episod keluarnya beliau dari PAS. Kalau masih tidak kenal perangainya selepas membaca ulasan ini dan apa yang saya tulis sebelum ini, saya sudah tidak boleh kata apa.

Saya teramat setuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai ADUN Seri Gombak memandangkan beliau menang kerusi tersebut di atas tiket PAS. Kemenangan ini datang bersama penat lelah dan pengorbanan ahli PAS dan penyokong yang sekarang ini dipandangnya dengan penuh hina dan jelik.

Oleh itu, 9 alasan yang diberinya hanya mendedahkan kebuntuan dirinya sendiri. Lebih banyak yang dicakap, lagi banyak yang terdedah. Saya tidak akan menulis kembali alasan-alasannya, tetapi akan terus memberi respon satu per satu.

ALASAN HASSAN YANG PERTAMA
Ahli mesyuarat PAS Pusat adalah pimpinan parti dari sudut eksekutifnya (perlaksanaan). Mereka dipilih oleh perwakilan di muktamar. Dengan menyatakan mesyuarat PAS Pusat dikuasai ‘golongan parasit’ bermakna:

a) Perwakilan muktamar tidak pandai membuat pilihan dan adalah pro parasit. Ini merupakan satu kenyataan yang menghina pihak perwakilan dan keputusan yang telah mereka buat. Oleh kerana dianggap dirinya lebih bijak, maka keputusan mesyuarat tidak dihormati Hassan Ali.

b) DS Presiden dan ulama’ lain yang juga merupakan ahli mesyuarat tidak mampu menangani hujjah-hujjah yang dikemukakan oleh ‘golongan parasit’. Mereka terpaksa akur kepada kehendak golongan ini. Ini satu penghinaan kepada DS Presiden dan ulama’ lain yang merupakan ahli mesyuarat.

c) Beliau mengakui bahawa dirinya sendiri tidak mampu berhujjah untuk meyakinkan mesyuarat akan kebenaran pendiriannya.

Sekiranya itulah pandangan beliau terhadap perwakilan dan pimpinan PAS, maka amat wajar beliau tidak bersama PAS. Lebih baik beliau tubuh organisasi sendiri dan menjadi Presidennya. Sekiranya khuatir ianya akan dianggotai orang-orang yang tidak mampu beliau berhujjah, maka lantiklah diri juga sebagai Timbalan, Naib dan Setiausahanya.

ALASAN HASSAN YANG KEDUA
Surat dan sebagainya adalah hanyalah formaliti. Hassan Ali tidak hadir mesyuarat bulanan untuk beberapa bulan selepas tidak dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS Selangor. Namun beliau dihubungi oleh pimpinan Pusat dan Negeri. Sebahagian beliau layan, sebahagian beliau buat tidak endah seperti Dato Dr. Mahfuz, Ahli Majlis Syura Ulama’ dan PJ Johor yang saya difahamkan telah datang ke rumahnya bersama isterinya tetapi tidak dibuka pintu. Beliau turut dinasihati TGNA dan pimpinan yang lain. Hakikatnya amaran keras yang pernah diberi dalam kes sebelum ini sudah memadai sebagai alasan memecat kerana beliau melanggarnya secara terang-terangan.

ALASAN HASSAN YANG KETIGA
Selepas pertemuan dengan TGNA di mana TGNA telah menyebut semua isu telah pun selesai, mengapa Hassan Ali tuduh pula Harakahdaily menipu dan memutar-belit kenyataan TGNA? Sikap menyerang PAS, termasuk media PAS, adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan. Kredibiliti media PAS perlu diusahakan dan dipertahankan, bukan disanggah begitu sahaja! Tindakan sedemikian hanya menguntungkan pihak musuh. Itu bukti masalahnya belum selesai dan permintaan maafnya tidak bermakna. Hanya manis di mulut.

ALASAN HASSAN YANG KEEMPAT
PAS tidak tersasar. Dasar PAS Islam. Islam mampu melindungi hak Melayu dan kaum lain dan juga institusi Raja. Tidak perlu diletak Melayu dan Raja setaraf dengan Islam sehingga dasar PAS menjadi 3. Islam sempurna dan tidak perlu ditokok tambah.

Soal istilah ‘Negara Berkebajikan’ tidak merupakan masalah kerana konsep ini tetap tertakluk kepada definasi yang berpaksikan perlembagaan PAS iaitu Islam. Ianya hanya istilah untuk menjelaskan bahawa Negara yang ingin dibentuk oleh PAS berdasarkan Islam bersifat berkebajikan, bukan kejam dan zalim seperti yang didakwa UMNO.

Soal kepimpinan ulama, ini juga tidak diubah oleh PAS. PAS menginstitusikan kedudukan ulama’ dalam parti dengan tertubuhnya ‘Majlis Syura Ulama’ yang kesemua ahlinya adalah ulama’. Bagi seorang yang mendakwa ingin mengikut kepimpinan ulama, Hassan Ali sepatutnya membuktikan apa yang didakwanya. Ini sebaliknya! Majlis Syura Ulama tidak kata apa-apa, Hassan Ali pula yang pandai-pandai mengeluarkan fatwa bahawa PAS telah terkeluar dari landasan asalnya. Ini bukan hendak ikut ulama’ tetapi ingin ulama’ ikut cakapnya! Atau adakah ulama’ juga dianggapnya sebagai parasit?

Soal ukhuwwah Islamiyah dan akhlak Islam yang kononnya tidak lagi menjadi amalan dalam PAS; saya tidak nampak pimpinan PAS menghina pimpinan lain dengan gelaran seperti parasit atau sebagainya kecuali Hassan Ali sendiri! Sepatutnya Hassan Ali menunjukkan contoh ukhuwwah dan akhlak Islam yang kononnya diingin-inginkan.

ALASAN HASSAN YANG KELIMA
Bagi saya alasan ini merupakan pengakuan yang saya tunggu selama ini. Hassan Ali mengaku bahawa dia sememangnya tidak mahu pada PR dan kerap kali mencadangkan kedudukan PAS dalam PR dikaji semula. Sedangkan keputusan untuk bersama dengan PR dan mengukuhkan PR adalah keputusan muktamar, bukan mana-mana golongan dalam PAS. Maka beliau sendiri apabila diamanahkan dengan apa-apa jawatan dalam PAS sepatutnya memahami jawatan itu perlu dimanfaatkan untuk mencapai matlamat dan strategi yang dipersetujui PAS, bukan agenda dirinya sendiri! Sekiranya beliau tidak setuju, sepatutnya beliau melepaskan jawatan-jawatan ini dan benarkan orang lain berusaha untuk mencapai kehendak parti.

Tetapi berlaku sebaliknya; jawatan hendak tetapi guna ikut kepala sendiri. Ini yang dikatakan tidak amanah. Ini yang dikatakan khianat. Parti suruh kukuhkan PR, tetapi beliau berkali-kali berusaha untuk membawa PAS keluar PR! “Kaji semula kedudukan dalam PR” cara cakap penuh diplomatik. Maknanya keluarlah tu. Tetapi apabila sudah keluar hendak buat apa? Gabung dengan UMNO lah pula!

Empat tahun terbuang kerana Hassan Ali mengejar agenda sendiri.

ALASAN HASSAN YANG KEENAM
Alasan ini juga merupakan satu pengakuan yang saya tunggu-tunggu. Hassan Ali mengaku beliau tidak mampu menjalankan tugasnya. Dia mengakui bahawa dia “menghadapi kesukaran dan suasana serba salah” bukan kerana kekurangan pada orang lain tetapi kekurangan dirinya sendiri. Hassan Ali tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan kerjanya dalam suasana berbilang kaum dan berbilang bangsa serta fahaman. Dia hanya mampu buat kerja apabila semua sudah setuju dengan dirinya dan ikut sahaja cakapnya.

Yang saya hairan, mengapa dia keluarkan pengakuan ini setelah dipecat? Kalau dia memahami jawatan dia adalah suatu amanah dan dia memang menghadapi kesukaran dan serba salah, sepatutnya dari awal lagi dia beritahu pimpinan; “Saya tidak mampu. Tunggu semua sudah setuju untuk ikut saya baru beri balik jawatan dan tanggung-jawab ini kepada saya. Saya tidak mampu untuk berhujjah dengan mereka yang tidak setuju dengan apa yang saya cuba lakukan”. Serah sahaja kepada mereka yang sanggup dan mampu berhujjah”.

Sebenarnya, inilah di antara cabaran yang mesti dihadapi oleh gerakan Islam. Samada dengan orang Islam mahupun yang bukan Islam, iaitu kemampuan untuk berhujjah untuk membuktikan kebenaran Islam dan ketepatan pendekatannya. Bukan hanya dengan ‘bull-doze’ sahaja.

ALASAN HASSAN YANG KETUJUH
Soal pimpinan, yang Hassan Ali gemar menggelar sebagai ‘parasit dalam PAS’, lebih suka mendengar pandangan dari DAP dan PKR adalah kerana mereka memahami bahawa kita berada dalam kerajaan campuran. Maka pandangan semua pihak mesti didengari. Kalau ada yang tidak setuju, maka perlu dibincang dan dibahaskan.

Yang malangnya Hassan Ali hanya ingin dengar pandangannya sendiri dan sanggup memutar-belit fakta dalam usaha memenangkan pandangan sendiri.

ALASAN HASSAN YANG KELAPAN
Hassan Ali merasakan dia tidak dapat buat kerja nahi mungkar dalam pentadbiran Selangor. Apa itu ‘mungkar’ ini ada yang dipersetujui bersama, ada yang tidak dipersetujui bersama. Bagi yang dipersetujui bersama, seperti rasuah dan penyelewengan, kronisma dan pecah amanah, boleh dicegahi bersama atas nama PR. Bagi yang tidak dipersetujui bersama pula boleh mencegahnya dengan kaedah ‘bil lisan’ atau dengan lidah atas nama PAS.

Dalam beberapa perkara, seperti penjualan beer dalam kawasan majoriti Islam, PAS boleh berhujjah dengan bijak dan lancar supaya mendapat persetujuan rakan-rakan di dalam PR supaya ianya dilarang walaupun ianya tidak dilihat sebagai sesuatu kemungkaran dari sudut perspektif orang bukan Islam. Ini telahpun bejaya dilaksanakan dan mendapat persetujuan semua pihak.

Pada masa yang sama, PAS boleh juga melancarkan kempen anti-arak yang melibatkan semua, Islam dan bukan Islam. Konsep hak asasi manusia, kebebasan individu, hak untuk memilih adalah perkara yang terdapat dalam ajaran Islam. Itulah sebabnya Islam tidak dipaksa ke atas masyarakat. Kita sebagai ummat Islam mesti menghayati perintah Allah yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, serta contoh dan nasihat yang baik dan berhujjah dengan mereka melalui cara yang terbaik”. Amat malanglah jika Hassan Ali menganggap bahawa Islam tidak mengiktiraf bahawa manusia itu mempunyai hak asasi dan tidak boleh diperlakukan sesuka hati atau bahawa Islam itu perlu dipaksa ke atas masyarakat tanpa mengakui adanya hak memilih dan kebebasan individu.

ALASAN HASSAN YANG KESEMBILAN
Hassan mengadu dia sering diserang oleh pimpinan ‘parasit PAS’ apabila dia melakukan sesuatu melalui jabatan yang di bawah penguasaannya seperti MAIS, JAIS dan LZS. Perkara ini mungkin perlu beliau tanya dirinya sendiri mengapa ianya berlaku. Mungkin dia sendiri tidak berbincang dengan pimpinan PAS Pusat dan Negeri mengenai keutamaan atau awlawiyyat yang perlu diusahakan terlebih dahulu. Maklumlah, untuk berbincang dengan manusia yang beliau lihat sebagai ‘parasit’ apa gunanya.

Setahu saya beliau tidak pernah berbincang persoalan ini di dalam mesyuarat PAS Negeri yang diadakan sebelum ini. Saya berasa pelik mengapa semua ini diluahkan hanya selepas dia dipecat. Kedua, adakah benar MAIS, JAIS dan LZS di bawah ‘penguasaannya’? Itu perlu tanya, MAIS, JAIS, LZS dan Hassan Ali sendiri.

KESIMPULAN
Bagi saya semua alasan yang diberi hanya alasan semata-mata.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Thursday, February 9, 2012

Selangor lebih baik Tanpa hassan Ali: Kempen Anti Zina 11 Feb

Selangor lancar Kempen Anti Zina 11 Feb


SHAH ALAM, 9 Feb: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil inisiatif untuk melancarkan gerakan pencegahan zina sempena Hari Kekasih.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata, gerakan itu akan menumpukan kawasan-kawasan yang selalunya menjadi tumpuan anak-anak muda memadu asmara seperti pusat membeli-belah, kawasan tasik dan dataran di sini.

"Kita akan adakan ekspedisi dakwah di tempat-tempat yang menjadi tumpuan pasangan muda-mudi.

"Pada malam itu juga penguatkuasa JAIS, pihak polis serta penguatkuasa PBT akan melakukan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan-kawasan tersebut," katanya di Bangunan SUK, di sini semalam.

Menurutnya, kempen yang telah memasuki fasa keenam itu bukan sahaja melibatkan kepimpinan peringkat negeri dan daerah tetapi menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.

"Untuk mengatasi masalah secara menyeluruh tentulah pemimpin kawasan masing-masing seperti  jawatankuasa masjid dan surau perlu terlibat membantu menjayakan gerakan ini,” katanya.

Dr Halimah yang juga Adun Selat Klang menambah, mereka bukan sahaja paling berupaya melakukan follow-up, malah juga follow-through secara berkesan.

Katanya, sepanjang lebih kurang dua tahun penganjuran kempen di bawah kelolaan Generasi Idaman Selangor (GEMS), kempen itu dilihat berjaya menarik pelbagai pihak bekerjasama mendidik masyarakat mengatasi gejala sosial khususnya zina.

"Mereka ini makin bersemangat, proaktif, berani dan positif kerana mereka merasakan bahawa mereka juga telah memberikan impak yang besar bagi masyarakat.

"Dengan usaha mempromosikan kempen Anti Zina, sekurang-kurangnya mereka menyedarkan orang ramai tentang bahaya zina, dan saya yakin selama ini ramai pihak yang tidak peduli untuk atasinya," ujarnya.

Menurutnya, program yang diatur bukan sekadar mencegah perbuatan terlarang seperti zina, tetapi juga untuk mendekati dan mendidik golongan muda dengan menyediakan mereka alternatif  lain bagi bersantai dan berhibur dengan cara yang betul dan tidak dimurkai Allah SWT.

"Contohnya seperti Sambutan Tahun Baru pada malam 1 Januari lalu, kita lihat hampir pukul 12 tengah malam, barisan pimpinan bersama artis-artis, bersama Ustaz Azhar Idrus, Zizan menyanyikan Asma Ul-Husna dan ditutup dengan doa oleh Ustaz Azhar.

"Inilah gambaran yang kita mahu beri kepada golongan muda bahawa kita faham yang kamu mahu iaitu seni, muzik, hiburan lawak dan sebagainya. Namun semua ini harus dilakukan dengan beradab dan tidak melebihi batas," ujarnya.

Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina Keenam akan diadakan pada 11 Februari ini di Unisel Bistari Jaya,  jam 3 petang.

Friday, January 20, 2012

Memang patut Hasan Ali tidak bersama PAS dan jadi Exco Agama

Bila dah berkawan dengan UMNO macam ni la jadinya, pertimbangan akal diutamakan untuk mengeluarkan pandangan dan kenyataan.
Bila dah berkawan dengan UMNO dan terlebih2 dari UMNO maka fitnah jadi makanan, tuduhan dan tohmahan jadi mainan,
Bila orang jaga Akidah cara UMNO, glamour la yang diutamakan. berlagak sana sini konon jaga akidah tapi fitnah di bolehkan..
Hassan Ali memang tak layak bersama PAS yang perjuangan pakatan rakyat. bagi aku bukan PAS atau pakatan rakyat dapat faedah bila Hassan Ali join PAS. Tapi dia lah sebenarnya yang lupa daratan bila dah mendapat kepercayaan di dalam PAS.
Boleh jalan la lu Hasan Ali. Nothing..

Dari: Keadilan Daily
20 Januari 2012

Pakatan tegas menolak seks bebas, homoseksual – Anwar


KUALA LUMPUR 20 Jan: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berkompromi dengan isu seks bebas dan homoseksual serta tetap mempertahankan institusi perkahwinan di negara ini.

Beliau berkata demikian mengulas fitnah pihak tertentu terhadapnya ekoran satu wawancara dengan media luar negara, baru-baru ini.

“Sebagai muslim dan saya yakin majoriti bukan Islam di Malaysia yakin dan percaya bahawa perkahwinan antara lelaki dan perempuan itu adalah kemuliaan insan dan saya tidak akan mengambil sikap bermaaf dalam soal ini,” katanya di majlis kesyukuruan di rumahnya semalam.

“Ini menjawab semua bahawa kita tidak mendokong seks bebas atau homoseksual atau lesbian,” tegas beliau.

Anwar turut menyelar fitnah bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali kononnya beliau menyokong undang-undang homoseksual dilaksanakan di negara ini.

“Saya tegaskan dalam wawancara itu bahwa undang-undang liwat ini lapuk, jumud kerana ia diguna untuk fitnah orang, zalimi orang dan saya tidak pertahankan, tegas beliau.

“Kalau Hasan Ali kata wawancara Anwar tidak jelas dan kita minta supaya kita jelaskan tidak apa, tapi ini soal hukum dan beliau buat andaian kononnya kalau saya jadi perdana menteri saya akan sahkan undang-undang ini.

“Saya ulang bahawa undang-undang lapuk sedia ada ini memang lapuk kerana ia hanya alat pemerintah untuk zalimi dan fitnah orang demi kepentingan politik sempit mereka,” tegas beliau.

Majlis kesyukuran berkenaan yang diadakan sempena pembebasan beliau oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 9 Januari lalu, dihadiri kira-kira 500 tetamu.

Antara yang hadir bekas imam Masjid Damansara, Shamsul Firdaus, dan Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty, Pengarah Penerangan Selangor, Dr Badrul Amin Bahron,
Turut kelihatan hadir ialah bekas menteri Barisan Nasional, Tan Sri Dr Abdul Kadir Sheikh Fadzir.


—Keadilan Daily

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Twitter


Dari Blog Pemimpin