Anwar: Himpunan 8 Mei untuk bantah 'penipuan'
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada penyokongnya
untuk hadir ke Stadium Kelana Jaya Rabu ini bagi menyatakan bantahan ke
atas penipuan yang didakwa dilakukan dalam pilihanraya 5 Mei.
"Saya akan menjemput rakyat buat pertama kali selepas pilihan raya umum
pada Rabu ini di Stadium Kelana Jaya pada jam 8.30 malam. Saya menyeru
semua rakyat Malaysia untuk bersama dan nyatakan penolakan kita terhadap
penipuan dalam pilihan raya yang dilakukan SPR dan Datuk Seri Najib
Razak.
"Gerakan untuk perubahan tidak boleh dihalang. Permintaan rakyat untuk
memiliki pilihan raya yang bersih dan adil bagi memastikan kerajaan
yang kita pilih bertanggungjawab, telus dan tiada rasuah akan terus
bergema kuat di sebalik keputusan Pilihan Raya Umum ke-13," katanya
dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya
Bersih dan Adil (BERSIH) bagi memastikan sebuah SPR yang baru dan bebas
ditubuhkan bagi menangani penipuan dalam pilihan raya.
Katanya, beliau juga akan berusaha bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk mempersoalkan kesahan kerajaan yang dibentuk oleh BN.
"Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab kerana bersubahat dalam
penipuan pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah kita. Perjuangan
untuk pilihan raya yang bersih dan adil kekal sebagai satu perjuangan
yang penting bagi mana-mana rakyat Malaysia.
"Saya akan memberi sepenuh masa dan tenaga saya bersama BERSIH dan
rakyat Malaysia untuk memastikan SPR yang baru dan bebas ditubuhkan
secepat mungkin untuk membetulkan penipuan pilihan raya.
"Kita tidak boleh membenarkan diri kita menerima keputusan pilihan raya
melalui penipuan dan menipu. Hati saya akan bersama dengan setiap rakyat
Malaysia yang tidak menerima keputusan ini. Saya akan berusaha ke arah
konsensus kebangsaan untuk mempersoalkan kesahihan kerajaan BN yang
dicapai melalui penipuan pilihan raya itu," katanya lagi.
Malaysiakini/-
No comments:
Post a Comment