BLACK WEDNESDAY 8 MEI 2013, STADIUM KELANA JAYA
BLOG INI DI"HITAM"KAN MULAI HARI INI

Berita

Sunday, October 23, 2011

Haram liwat isteri di bawah Ta’zir bukan Hudud

Haram liwat isteri di bawah Ta’zir bukan Hudud
Ust Dr Khairuddin Razali   
Liwat isteri menurut Mazhab Syafie adalah perlakuan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir. Menurut al-Imam al-Syarbini:- seorang tokoh Mazhab Syafie- “Adapun menyetubuhi isterinya atau hambanya pada dubur (liwat) maka pendapat Mazhab ialah wajib dita’zir sekiranya berulang. Sekiranya tidak berulang maka tidak dikenakan ta’zir.” Rujuk Mughni al-Muhtaj, Juz 16, hlm. 356-357.
Malah, Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai Hukuman Hudud tetapi Hukuman Ta’zir meskipun ianya haram berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai hukuman Hudud. Al-San’ani –salah seorang tokoh ulama mazhab Hanafi menyebut dalam Bada’I al-Sana’i`:
“dan demikianlah persetubuhan pada dubur lelaki atau perempuan tidak mewajibkan Hudud di sisi Abu Hanifah meskipun ianya adalah haram kerana persetubuhan tidak berlaku pada kemaluan depan, maka ia bukannya zina. Manakala di sisi kedua-duanya –Imam Muhammad dan Imam Hasan ( dua tokoh besar mazhab Hanafi) dan juga di sisi Imam Syafie perbuatan itu mewajibkan hukuman hudud.” Bada’I al-Sana’i`, Juz 15, m/s 24. Ini kerana pada pendapat Imam Abu Hanifah zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.”
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 telah mengambil pendapat Imam Syafie dan Mazhab Syafie dalam mengkategorikan jenayah liwat sebagai Hukuman Hudud dan tidak menkategorikan liwat isteri sebagai Hukuman Hudud.
Hukuman jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga. iaitu Hukuman Hudud, Hukuman Qisas dan Hukuman Ta’zir. Kesalahan jenayah yang tidak termasuk dalam kategori Hudud dan Qisas dimasukkan dalam kategori Ta’zir. Kadar Hukuman Hudud telah ditetapkan oleh Allah antaranya zina yang mesti disebat atau dibuang negeri. atau direjam Kadar Hukuman Ta’zir pula boleh diijtihad oleh para ulama dan pemerintah berdasarkan beberapa peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 2002 adalah Enakmen untuk memperuntukkan dua jenis jenayah dalam Islam, iaitu Hukuman Hudud dan Hukuman Qisas sahaja. Adapun Hukuman Ta’zir tidak dihuraikan terperinci oleh Enakmen ini. Apa-apa kesalahan jenayah Islam yang tidak disebut dalam Enakmen ini secara automatic termasuk dalam kategori jenayah Ta’zir yang hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.
Hal ini disebut dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis Kesalahan, ceraian (c) “kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas, tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah. Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan takzir dan hukumannya dinamakan hukuman takzir.” (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian 1, Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan. www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/)
Begitu juga Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran menetapkan: (1) semua kesalahan-kesalahan dalam Enakmen ini dan peruntukan-peruntukan mengenainya hendaklah ditafsirkan mengikut Hukum Syara‘; dan rujukan kepada hukum itu, hendaklah dibuat mengenai apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan dalam Enakmen ini.“  (Rujuk Tr. P.U. 4/2002 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, Bahagian XI, Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/)
Seksyen  14 Enakmen tersebut yang dirujuk oleh salah seorang ahli parlimen hari ini menetapkan “Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur“. Rujuk Seksyen 14. Liwat, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, www2esyariah.gov.my/esyariahmal/portalv1/enakmen/
Seksyen 14 dengan tajuk Liwat ini menjelaskan takrifan jenayah Liwat yang dikenakan Hukuman Hudud. Menurut seksyen ini, jenayah Liwat yang akan dikenakan Hukuman Hudud tidak merangkumi keadaan di mana isteri diliwat oleh suami.
Persoalannya, bagaimana pula dengan isteri yang diliwat oleh suami? Apa hukumannya? Adakah ianya halal?  Jawapannya ialah meliwat isteri adalah haram dengan sepakat ulama. Ia adalah perlakuan jenayah yang termasuk kategori Hukuman Ta’zir bukannya Hukuman Hudud.
Apabila hukuman bagi jenayah Liwat Isteri nya tidak disebut dalam Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M, maka ia termasuk dalam kategori Ta’zir sebagaimana penjelasan dalam Seksyen 3. Jenis-Jenis kesalahan dan juga dirujuk kepada Bahagian XI Seksyen 65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran.
Amat malang sekali apabila ada ahli parlimen yang berstatus peguam telah gagal memahami dengan tepat peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud Dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M sehingga membuat kesimpulan kefahaman yang boleh memberikan kefahaman negative kepada masyarakat seolah jenayah Liwat Isteri adalah dibenarkan dan dibolehkan.
Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang Hukuman Jenayah Islam, Ulama sepakat bahawa zina termasuk kategori Hukuman Hudud yang telah ditetapkan hukumannya. Namun, mereka berbeza pendapat adakah liwat termasuk kategori Hukuman Hudud atau Ta’zir?  Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan liwat sebagai hukuman hudud meskipun haram kerana pada pendapat beliau, zina yang disebut dengan jelas hukumnya di dalam al-Quran merujuk kepada “persetubuhan pada kemaluan depan.” Hal ini berbeza dengan Imam Syafie yang mengkategorikannya sebagai Hukuman Hudud.
Perbezaan pendapat di kalangan ulama besar ini dalam beberapa perkara cabang melibatkan hukum hudud, qisas dan ta’zir menggambarkan keluasan fiqh Islam. Ia memberi ruang untuk setiap pemerintah mengambil pendapat dan pandangan yang lebih bermaslahat pada zamannya untuk dijadikan sebagai perundangan Negara atau negeri yang akan dilaksanakan.
Antara contoh perbezaan pendapat ulama lagi dalam kes Hudud dan Ta’zir ini ialah melibatkan Hukuman Zina. Hukuman Hudud Zina tidak dikenakan kepada Kafir Harbi yang diberi keamanan di negeri Islam apabila berzina dengan wanita Islam menurut Mazhab Hanafi berbeza dengan pendapat Abu Yusof –salah seorang tokoh mazhab Hanafi-.
Begitu juga menurut Abu Hanifah menyetubuhi wanita mati walaupun pada kemaluan depan, dan menyetubuhi binatang tidak dikategorikan zina meskipun ianya adalah haram. Maka ia tidak termasuk dalam hukuman hudud tetapi termasuk dalam ta’zir. Begitu juga Imam Abu Hanifah tidak mengkategorikan persetubuhan dengan mahram yang dinikahi sebagai Hukuman Hudud tetapi dikategorikan Ta’zir, berbeza dengan Imam Syafie yang menjadikannya sebagai Hukuman Hudud.
Kesimpulannya tidak mengkategorikan sesuatu perlakuan jenayah sebagai Hukuman Hudud tidak bererti ianya halal dan dibenar dan tidak dianggap sebagai jenayah, malah ia dikategorikan sebagai Hukuman Ta’zir.

** Ust Dr Khairuddin Razali adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat

No comments:

Post a Comment

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Twitter


Dari Blog Pemimpin